pada
peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW menunggang Buraq menuju Masjidil
Aqsa di mana kemudiannya baginda mendirikan solat tahiyatul masjid dua rakaat.
Apabila tiba tarikh 16 Mei pasti kita semua akan terus teringat mengenai Sambutan Hari Guru di Seluruh dunia. Tarikh ini membawa maknanya kerana ia memperingati jasa guru - guru yang telah mengajar murid murid di seluruh dunia. Tetapi pada tahun ini agak istimewa sedikit kerana pada tarikh ini juga adalah Hari Israk dan Mikraj bagi orang Islam.
BULAN Rejab selalu dikaitkan dengan peristiwa Israk dan
Mikraj. Para ulama berbeza pendapat menentukan tarikh pasti terjadinya
peristiwa tersebut. Imam Al-Nawawi sendiri memiliki dua pendapat yang
berlainan. Dalam kitab al-Raudah, beliau menegaskan bahawa Israk dan Mikraj
berlaku pada 27 Rejab. Sementara dalam kitab Fatawanya, beliau mengatakan
peristiwa itu berlaku pada 27 Rabiulawal.
Israk dan Mikraj diriwayatkan dalam pelbagai hadis.
Sebahagiannya sahih dan ada juga yang lemah.
Derdasarkan hadis-hadis sahih, peristiwa ini berlaku sebelum
hijrah ke Madinah.
Malam itu, baginda berada di rumahnya di Mekah. Jibril AS
dan dua orang malaikat lainnya membangunkan baginda. Mereka membawa Buraq,
iaitu seekor haiwan yang lebih kecil daripada kuda, lebih besar daripada
keldai. Satu langkahnya sejauh mata memandang.
Rasulullah SAW menunggangi Buraq menuju Masjidil Aqsa.
Setibanya di masjid, baginda mengikatnya di pintu masjid. Seterusnya baginda
masuk ke dalam masjid dan melakukan solat tahiyatul masjid dua rakaat.
Tidak lama kemudian, sebuah mikraj (tangga) di turunkan dari
langit. Lalu baginda menaikinya dan terangkat ke langit pertama, kedua dan
seterusnya hingga ke langit ketujuh. Di tiap-tiap langit, Rasulullah SAW
berjumpa dengan nabi-nabi terdahulu. Antaranya: Adam, Yahya, Isa, Yusuf, Idris,
Harun, Musa dan Ibrahim.
Adapun kisah yang mengatakan bahawa Nabi SAW menginjak batu
Sakhrah pada masa itu, maka riwayat ini tidak sahih. Demikian penjelasan Syeikh
Zahid al-Kauthari dalam Maqalat al-Kauthari.
Rasulullah terus terangkat hingga ke tempat yang sangat
tinggi. Beliau diperlihatkan banyak sekali keajaiban dan tanda-tanda kebesaran
Allah SWT.
Antaranya Sidratul Muntaha, sebuah pokok besar yang ditutupi
oleh warna-warni yang sangat indah. Daun-daunnya sebesar telinga gajah dan buahnya
seperti kendi Hajar.
Rasulullah turut diperlihatkan Baitul Makmur iaitu kiblat
hamba Allah di langit sebagaimana Kaabah yang menjadi kiblat manusia di bumi.
Setiap hari 70,000 malaikat masuk ke dalamnya dan tidak keluar lagi. Baginda
juga diperlihatkan syurga dan neraka.
Kemuncak perjalanan itu, baginda mengadap Allah SWT. Para
ulama berbeza pandangan adakah baginda melihat Allah pada saat itu atau tidak.
Lalu Allah menurunkan kewajipan solat 50 waktu. Baginda menerimanya dengan
patuh.
Apabila turun, baginda kembali berjumpa dengan Nabi Musa AS
di langit kelima. Nabi Musa menyarankan agar baginda meminta keringanan bagi
umatnya. Beliau khuatir umat Islam tidak akan mampu melaksanakan kewajipan itu.
Baginda setuju dengan saranan itu, lalu kembali kepada Allah
untuk tujuan tersebut.
Setelah lima kali turun naik, Allah SWT mewajibkan solat
hanya lima waktu sahaja.
Rasulullah SAW turun kembali ke Masjidil Aqsa, lalu menaiki
Buraq ke Mekah. Beliau selamat tiba di rumah awal pagi sebelum matahari terbit.
Baitulmaqdis
Mungkin lahir soalan kenapa Baitulmaqdis menjadi destinasi
Israk dan bukan tempat lain?
Baitulmaqdis adalah masjid kedua yang didirikan sebagai
rumah ibadat menyembah Allah SWT. Yang pertama ialah Masjidil Haram di Mekah
yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Masjid Al-Aqsa diasaskan oleh Nabi Yaakub, cucu Nabi
Ibrahim. Selang masa antara pembinaan kedua-dua masjid ini adalah 40 tahun.
Abu Zar pernah bertanya kepada Nabi: "Wahai Rasulullah,
masjid apa yang pertama kali dibina?" Baginda menjawab: "Masjidil
Haram." Abu Zar bertanya lagi: "Lalu masjid apa?"
Rasulullah menjawab: "Al-Masjid al-Aqsa."
"Berapakah selang masa antara (pembinaan) kedua masjid
ini?" tanya Abu Zar lagi.
Baginda menjawab: "Empat puluh tahun. (riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
Israk dan Mikraj menyatukan dua masjid pertama di dunia.
Kedua-duanya simbolik risalah tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu.
Kedatangan Rasulullah ke Baitulmaqdis menandakan bahawa
Islam adalah lanjutan agama Ibrahim, Yakub, Musa, Isa dan seluruh nabi-nabi
sebelumnya. Dan Muhammad adalah nabi terakhir yang menutup seluruh kenabian.
Berkata Ibnu Kathir dalam tafsirnya: "Baitulmaqdis
adalah tempat asal nabi-nabi sejak Nabi Ibrahim.
"Itu sebabnya mereka lalu dikumpulkan di
sana. Rasulullah SAW mengimami mereka di tempat mereka sendiri. Ini menunjukkan
bahawa beliau adalah imam yang terbesar dan pemimpin yang dikedepankan."
No comments:
Post a Comment